Bagaimana agaknya pada hari pengundian 9 Mei nanti? Video yang tular itu bukanlah berlaku pada Sabtu lalu. Semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati video berkenaan adalah kejadian semasa Pilihan Raya Umum Ke-13.

Begitulah hebatnya media sosial mengitar semula bahan lama bagi menimbulkan kegemparan. Tidak mustahil akan ada lagi bahan tidak benar termasuk pengundi hantu yang akan dikitar semula pada hari pengundian. Motifnya pelbagai, mungkin untuk dijadikan faktor kalah menang seseorang calon atau parti. Mungkin juga bagi memburukkan imej SPR itu sendiri.

Kepada masyarakat sama ada yang layak mengundi atau tidak, jangan jadikan PRU medan untuk menimbulkan keresahan.

Awang berharap, SPR diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menjalankan tanggungjawab ini tanpa disogok dengan berita yang tidak benar. SPR juga perlu memberi reaksi segera terhadap sebarang isu yang ditimbulkan. Tindakan tegas pula harus diambil terhadap penyebar video itu supaya menjadi pengajaran bukan setakat untuk PRU tetapi berhubung laporan yang tidak benar.

AWANG - Simpati tohmahan terhadap SPR