Malaysia sudah memberi mesej yang jelas kepada Korea Utara. Negara itu sepatutnya menghormati hubungan diplomatik yang terjalin. Sikap biadab dengan membuat tuduhan melulu dan tidak berasas terhadap Malaysia berhubung siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-nam merupakan satu penghinaan dan tidak menghormati kedaulatan negara ini.

Sebagai diplomat, Kang Chol sepatutnya lebih bertanggungjawab memelihara hubungan diplomatik termasuk menghormati peraturan serta undang-undang negara ini. Bak kata orang di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Sikap angkuh tidak menyelesaikan masalah. Tidak banyak yang diminta oleh Malaysia kecuali memohon maaf, menarik balik kenya­taan yang dibuat serta menghormati prosedur yang ditetapkan undang-undang dalam siasatan kes pembunuhan itu.

Awang percaya, mana-mana negara yang menghadapi situa­si begini akan bertindak demikian. Tidak ada negara yang akan membiarkan pihak luar sewenang-wenangnya mencabar maruah dan kedaulatan negaranya. Setiap negara akan sentiasa berusaha meningkatkan hubungan diplomatik, bukan merosakkannya.

AWANG – Ingat di mana bumi dipijak.