Biarlah siasatan berjalan tanpa gangguan serta tidak bertujuan melindungi sesiapa. Keutamaan harus diberi kepada tanggungjawab, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik lebih-lebih lagi sebelum ini Felda memperkenalkan Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan Pakatan Integriti (IP) dengan SPRM.

Tindakan segera pemulihan amat penting khususnya bagi menjaga kepentingan Felda sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam FGV. Amat malang apabila FGV berhadapan dengan kemelut ini setelah meraih keuntungan dalam suku pertama yang berakhir 31 Mac lalu. Semalam, harga saham FGV di Bursa Malaysia turun 3.5 peratus yang dilihat sebagai salah satu kesan negatif. Semoga keadaan itu bersifat sementara.

Awang percaya, dalam mengambil tindakan, Lembaga Pengarah FGV telah mengikut prosedur yang ditetapkan. Pada masa yang sama, semua pihak perlu diberi peluang untuk mencari penyelesaian yang lebih diyakini supaya tidak ada yang terasa dijadikan mangsa. Apa pun, sebarang tindakan yang diambil, akhirnya diharap mampu memberi keputusan terbaik kepada Felda.

AWANG - Yakin keupayaan Felda.