Khabarnya puluhan ribu orang menjadi mangsa kerana terpedaya dengan satu skim yang sebenarnya tidak wujud. Sekali lagi yang rugi ialah orang ramai manakala yang untung pula adalah sindiket.

Tetapi rakyat Malaysia memang tidak pernah insaf dan serik. Mereka begitu mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang kononnya boleh mendatangkan keuntungan berlipat ganda dalam sekelip mata. Bagaimanapun Awang tidak peduli sangat pasal kelompok yang ditipu itu sebab mereka yang sengaja mencari pasal, tetapi apa yang lebih menjadi perhatian Awang ialah berhubung kenapa skim-skim ini dikatakan wujud hanya ketika pilihan raya umum hampir menjelang.

Adakah ini adalah secara kebetulan atau sememangnya ia satu perancangan? Memandangkan ada desas-desus kewujudan skim ini ada kaitan dengan pengumpulan dana politik untuk parti-parti tertentu. Parti mana? Biarlah pihak berkuasa menyiasatnya dahulu. Apa yang pasti skim tersebut harus dihapuskan.

AWANG – Ada maklumat.