Oleh itu Awang berharap kerajaan akan memberi tumpuan kepada perkara tersebut dan tidak menghabiskan masa dengan tindakan yang dilihat hanya mahu memburuk-burukkan kerajaan terdahulu.

Mereka perlu membuktikan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam adalah salah apabila beliau menyatakan gambaran hutang negara semakin meningkat ha­nyalah alasan Pakatan Harapan untuk mengelak atau menangguhkan pelaksanaan beberapa manifestonya yang populis tanpa mengambil kira kemampuan negara.

Awang percaya, itulah juga anggapan atau tafsiran pelbagai pihak apabila dari semasa ke semasa, banyak alasan diberikan oleh kerajaan apabila ditanya bilakah segala yang terkandung dalam manifesto itu mahu dilaksanakan.

Justeru Kerajaan Pakatan Harapan perlu membuktikan mereka bukan hanya pandai berjanji tetapi juga bijak melaksanakannya. Jika tidak mereka perlu bersedia berhadapan dengan tindak balas rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Awang – Tidak suka berjanji.