Anggota penguat kuasa berpakaian seragam sentiasa terdedah kepada sogokan. Mereka adalah kumpulan pekerja yang sentiasa berhadapan dengan tugas-tugas penguatkuasaan tanpa mudah dikompromi. Akibatnya, ia menimbulkan kemarahan ba­nyak pihak dan pada masa yang sama ada yang cuba melakukan sogokan supaya tindakan penguatkuasaan tidak diteruskan.

Hanya integriti dan kesedaran yang kuat untuk meme­rangi rasuah dapat membantu anggota penguat kuasa menolak habuan dalam pelbagai bentuk yang menjanjikan ‘pendapatan dan kehidupan’ lebih baik kepada mereka.

Awang berharap, anggota penguat kuasa mana-mana agensi dapat menjaga imej pasukan masing-masing dengan memberi komitmen menolak rasuah sama ada dalam bentuk wang tunai, imbuhan percutian atau pemberian barangan. Pemantauan berterusan oleh pihak pengurusan tertinggi juga amat penting.

Setiap agensi yang berkaitan dengan tugas menjaga keselamatan negara, harus mempertahankan integriti masing-masing supaya tidak mudah dibolosi anasir negatif termasuk rasuah.

AWANG - Mahu sertai operasi APMM.