Bukankah himpunan itu akan bertembung dengan perhimpunan #DaulatHimpunan 812 menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang pastinya akan dihadiri ribuan orang Melayu.

Kenapakah Suhakam beria-ia benar mahu mengadakan perhimpunan sedangkan sudah hampir sebulan semua maklum #DaulatHimpunan812 akan diadakan? Pada pandangan Awang tindakan Suhakam tidak bijak, biarpun apa alasannya.

Sepatutnya, kalau benar Suhakam mementingkan perjuangan hak asasi, mereka tidak akan menganjurkan perhimpunan di Petaling Jaya.

Suhakam sepatutnya membiarkan dahulu perhimpunan di Dataran Merdeka berlangsung. Kalau selepas itu mereka mahu mengadakannya pada 10 Disember iaitu sambutan Hari Hak Asasi Manusia, silakan sahaja.

Suhakam boleh berhujah apa sahaja bagi ‘menghalalkan’ kenapa mereka mengadakan perhimpunannya.

Tetapi dua perkara Suhakam tidak mampu elak ialah kebangkitan orang Melayu mempertahankan hak asasi mereka yang termaktub dalam Perlembagaan. Dan persepsi Suhakam memang mahu menggagalkan #DaulatHimpunan812, sama ada betul atau tidak, Suhakam pasti tahu jawapannya.

Awang – Tahu apa tersirat.