Bagi sayap parti, rakyat perlu diyakinkan bahawa Pakatan Harapan mempunyai agenda yang meragukan dan membimbangkan. Peranan sayap adalah untuk menyedarkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan harapan palsu. Secara ke­seluruhan, semangat yang ditunjukkan melalui ucapan pemimpin sayap parti adalah untuk memastikan Barisan Nasional (BN) tidak gugur dalam PRU-14 .

Tanpa memandang ringan cabaran pakatan pembangkang, ketiga-tiga sayap itu perlu bekerja keras untuk meyakinkan rakyat terhadap rekod yang ditunjukkan BN berbanding pembangkang. Pemimpin serta seluruh anggota parti itu perlu turun dengan ya­kin ke ‘medan pertempuran’ untuk memastikan kemenangan.

Ikrar dan janji perlu diterjemahkan dengan tindakan, bukan berakhir di atas pentas ucapan semasa perhimpunan parti.

Awang juga yakin dengan kesepakatan sayap parti itu supaya fokus utama adalah kepada PRU-14 bukannya pemilihan parti. Le­bih tepat lagi mengekalkan gandingan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk terus memimpin UMNO. Biarlah seluruh jentera parti turun ke medan PRU dengan lebih tenang.

AWANG – Susun strategi liputan PRU-14.