Sekurang-kurangnya, sudah ada jalan untuk OIC mengadakan mesyuarat peringkat Menteri Luar dalam tempoh terdekat. Bukan setakat OIC, sebaliknya ASEAN sebagai jiran terdekat Myan­mar malahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu mengambil inisiatif bagi menangani segera isu ini.

Walaupun ada pihak yang melihat himpunan ini dengan pandangan sinis atau disalah tafsir sebagai campur tangan, hakikatnya hasrat Malaysia adalah untuk menghentikan penindasan, penyeksaan dan pembunuhan dengan kadar segera. Pedulikan pandangan negatif pihak-pihak berkenaan.

Agak pelik juga apabila ada pihak yang memberi reaksi seolah-olah himpunan itu bermotifkan politik. Ada juga yang mengaitkan tindakan Malaysia boleh mewujudkan konfrantasi yang bakal menjejaskan hubungan dagang. Kenapa begitu dangkal pandangan mereka? Di mana sifat-sifat kemanusiaan?

Awang sebelum ini pernah mempersoalkan sama ada wujud kepentingan politik di Myanmar apabila tidak ada tindakan yang meyakinkan oleh kerajaan negara itu bagi menghentikan penindasan. Adakah disebabkan untuk menjaga puak-puak tertentu, etnik Rohingya menjadi mangsa? Sekali lagi ditegaskan, isu ini bukan soal politik atau ekonomi tetapi berkaitan kemanusiaan. Setiap manusia perlu diberi peluang untuk hidup dan dilindungi.

AWANG – Hormat sesama insan.