Meneliti satu demi satu kata-kata Perdana Menteri ketika membuat pengumuman tersebut, Awang menyimpulkan rakyat negara ini mempunyai dua pilihan sahaja iaitu terus memberi mandat dengan majoriti lebih kukuh untuk BN demi masa depan negara atau terperdaya dengan politik merebut kekuasaan yang diamalkan oleh parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan.

Pilihan raya kali ini amat penting. Ia bukan soal untuk memberi mandat atau menentukan siapa yang berkuasa semata-mata, sebaliknya ia demi masa depan negara. Oleh itu sebelum membuat keputusan rakyat perlu memikirkan dengan semasak-masaknya. Buatlah keputusan yang bijak dan tepat, bukannya dipengaruhi oleh emosi atau sentimen politik yang sempit.

Kerajaan BN di bawah kepemimpinan Perdana Menteri sudah membuktikan kemampuannya melaksanakan transformasi dalam pelbagai bidang demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, tetapi agenda itu belum selesai sepenuhnya.

Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi tujuan tersebut, oleh itu berilah mandat kepada parti yang benar-benar menunaikan janji dan memenuhi harapan, bukannya pakatan yang hanya bijak menabur janji melalui slogan harapan palsu.

Awang – Sentiasa tunai janji.