Kali ini seorang guru kerugian RM5,500 di Sarawak. Walaupun nilai kerugian tidak sebesar kes-kes sebelum ini, tetapi kena tipu tetap kena tipu.

Entah kenapa segelintir wanita kita mudah sangat ditipu dengan pujuk rayu oleh lelaki warga asing di laman sosial sedangkan berita-berita tentang scammer ini telah banyak sangat dilaporkan, ini yang menjadi persoalan besar pada Awang.

Adakah golongan wanita kita terlalu banyak menghabiskan masa bersembang di laman sosial? Kesunyian sehingga sanggup berkawan dengan siapa sahaja yang tidak dikenali di alam maya dan mudah pula mempercayainya walaupun tidak pernah bersua muka.

Adakah lelaki warga asing ini mempunyai tahap daya pujuk luar biasa berbanding lelaki tempatan? Berbagai andaian bermain di kepala Awang.

Awang rasa sudah tiba masanya, pertubuhan-pertubuhan wanita atau Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga sendiri mengkaji secara terperinci isu yang kian menjadi-jadi ini.

Mengapa mangsa yang rata-rata terlibat berpelajaran tinggi dan golongan profesional ini boleh terjebak dan sampai bila mudah ditipu?

Dan pada masa sama, adakan sesi penerangan, kempen atau apa sahaja mengenainya sebagai usaha membanteras penipuan sebegini. Awang yakin, hanya wanita yang dapat menangani dan memahami masalah berkaitan wanita dengan lebih berkesan.

AWANG - Hormati wanita.