Diharapkan penduduk yang terlibat dapat bersabar dan sentiasa mendengar nasihat pihak berkuasa dalam menghadapi situasi sekarang. Tumpuan juga harus diberi kepada usaha-usaha menyelamat dan menghulurkan bantuan. Ketepikan sentimen politik walaupun sebelum ini ada yang tidak segan silu berbuat demikian apabila banjir melanda di negeri tertentu.

Kata orang cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit. Syukurlah Pulau Pinang tidak bersendirian kerana Kerajaan Pusat turut menghulurkan bantuan. Begitu juga beberapa negeri lain turut menawarkan bantuan termasuk Kelantan yang sebelum ini berpengalaman menghadapi banjir besar.

Inilah semangat yang perlu ada ketika berhadapan bencana, bukannya mencari silap di sana sini.

Awang berharap, pada masa yang sama kerajaan negeri dapat mencari jalan untuk mengatasi masalah ini supaya tidak berulang atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan buruk yang sedang dialami. Lihat semula kelemahan sistem perparitan sama ada sudah terlalu lama atau tidak diselenggara dengan baik seiring dengan pembangunan semasa. Begitu juga faktor lain yang bukan sahaja menjadi punca banjir kilat tetapi juga kejadian tanah runtuh.

AWANG – Bimbang feri Pulau Pinang hanyut.