Sebaliknya, yang perlu ditekankan, adalah orang ramai perlu sedar bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab iaitu menyebarkan berita-berita yang tidak sahih atau palsu boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada di negara ini. Perbuatan ini serius, bukan boleh dibuat main dan dijadikan bahan jenaka.

Dan apabila timbul pula lagi satu berita palsu bahawa SKMM kini sedang menjalankan kerja-kerja pemantauan dan mengintip setiap kandungan dalam aplikasi WhatsApp, ini sudah pastinya dilakukan dan disebarkan oleh pihak-pihak yang mahu memburukkan lagi keadaan. Sedangkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Keruak menjelaskan, SKMM hanyalah sebuah badan yang bertindak sebagai pengawal selia. Tiada kerja-kerja ­pengintipan dilakukan.

Bagi Awang, orang ramai sebenarnya tidak perlu marah-marah dan risau mengenai kebebasan mereka berinteraksi dalam laman sosial seperti WhatsApp. Berkomunikasi dan bersembanglah ­seperti biasa. Jangan sebar berita palsu. Berita-berita sebegini telah menyusahkan dan merugikan banyak pihak. Laman sosial patut digunakan dengan bijak, bukan untuk mengadu domba.

AWANG – Bukan admin.