Penyebaran ideologi yang salah sehingga mempengaruhi kehidupan manusia bukan lagi melalui syarahan umum, ceramah atau kempen terbuka tetapi tersebar luas melalui media sosial. Pengaruh alam maya inilah yang menyebarkan ideologi kumpulan militan secara agresif. Serangan musuh tidak nyata inilah yang perlu diberi perhatian. Perang siber perlu dipertingkatkan.

Dalam hal ini juga, kita menyambut baik usaha Kerajaan Arab Saudi yang menubuhkan Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis di Riyadh. Malaysia turut memainkan peranan dalam penubuhan pusat yang bertujuan menentang dan mencegah penyebaran ideologi ekstremis dan militan ini.

Awang percaya, selagi wujud pihak yang berpegang kepada fahaman dan ideologi yang melampau berkaitan Islam, maka golongan yang mengancam keselamatan atas nama agama ini sukar dibendung. Justeru, amat penting memenangi perang ideologi ini bagi membolehkan masyarakat memahami apakah Islam dan tuntutan sebenar terhadap umatnya.

Semoga melalui usaha ini dapat mewujudkan sebuah negara yang aman dan mendapat rahmat.

AWANG – Dalami Islam semasa Ramadan.