Jelaslah tidak ada kompromi penguasaan bahasa Melayu dalam sektor awam. Diharapkan keputusan itu memuaskan hati semua pihak khususnya pejuang-pejuang bahasa yang bukan sekadar mahu mendaulatkan bahasa Melayu tetapi mempertahankan kedudukan Bahasa Kebangsaan itu seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 161 dan 152.

Harapan Awang, agar isu-isu bahasa seumpama ini tidak dibangkitkan lagi. Banyak masa yang terbuang untuk mencari pencerahan kepada isu ini yang mulanya dianggap remeh tetapi boleh mencetuskan perbalahan.

Bahasa Melayu adalah bahasa pendidikan dan perpaduan. Setiap warganegara mesti mampu menulis dan bertutur dalam bahasa Melayu walaupun hakikatnya masih ramai yang tidak fasih termasuk dalam kalangan wakil rakyat.

Awang percaya tidak ada sebab bagi warganegara tidak mampu lulus bahasa Melayu SPM. Jika pendatang asing boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik, tidak ada sebab anak Malaysia tidak mampu berbuat demikian. Diharapkan pada masa hadapan, pihak-pihak berkenaan mengkaji dahulu implikasi yang bakal timbul sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung isu bahasa Melayu ini. Jangan mempermainkan soal bahasa Melayu.

AWANG – Pupuk Bahasa Jiwa Bangsa.