Tanpa menolak sama sekali bencana alam juga satu ‘anugerah’ Tuhan yang tidak dapat dielakkan, sebagai manusia, kita diminta ber­usaha dan berikhtiar. Kumpulkan kepakaran yang ada dan ambillah pandangan cerdik pandai kita dalam mengatasi masalah ini. Sesudah berikhtiar, selebihnya kita berserah kepada Tuhan.

Sama ada kerajaan negeri atau Pusat, semua pihak perlu berbincang mencari jalan keluar kepada masalah ini. Jika kerosakan alam menjadi salah satu punca banjir, lakukanlah pemulihan. Atasi segera hakisan sungai, pantai, bukit dan gunung-ganang.

Dana boleh diadakan jika langkah-langkah pencegahan dapat mengatasi banjir. Tidak guna sekadar menuding jari mencari kesalahan tetapi tidak mengambil langkah membetulkan keadaan.

Awang percaya pencegahan adalah lebih baik berbanding setiap tahun perlu menyediakan peruntukan besar sebagai persediaan menghadapi banjir. Urusan perpindahan penduduk, peralatan menyelamat, bantuan makanan, pakaian dan sebagainya melibatkan kos. Begitu juga bantuan pascabanjir.

Tidak dinafikan, dengan sikap prihatin rakyat, bantuan boleh datang mencurah-curah tetapi kerosakan harta benda, kehilangan jiwa dan sebagainya sukar dicari ganti.

AWANG – Terbuka untuk berbincang