Kenyataan Dr.Mahathir itu dibuat berikutan laporan mengatakan Singapura membantah rancangan Malaysia memperluaskan had pelabuhan di Johor Bharu dan menyifatkannya sebagai menceroboh perairan wilayah berkenaan.

Apapun Awang berharap isu ini tidak akan mencetuskan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara. Ia perlu diselesaikan melalui hubungan dua hala yang cukup akrab selama ini.

Awang yakin sebagai seorang Perdana Menteri yang cukup berpengalaman berurusan dengan Singapura, Dr.Mahathir pasti mempunyai kaedah terbaik bagi memastikan isu yang tercetus tidak melarat sehingga merugikan kedua-dua negara.

Isu yang berbangkit sehingga dilihat mencetuskan perbalahan antara Malaysia dan Singapura itu perlu diletakkan noktahnya. Keputusan yang dibuat harus berhati-hati atas semangat negara jiran terdekat dan semangat ASEAN.

Pada masa Awang berharap tidak ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan untuk menjadi wira sehingga memburukkan lagi keadaan. Biarlah isu tersebut diselesaikan melalui hubungan antara kerajaan dengan kerajaan.

Awang percaya ia tidak sukar diselesaikan, jika kedua-dua pihak berbincang secara elok dan bukannya mahu menunjukkan keegoan masing-masing hingga menjejaskan hubungan baik yang sudah lama terjalin.

Awang – Tak suka berbalah.