Tumpuan sudah pasti terarah kepada perbahasan Ucapan Dasar Presiden serta usul ekonomi, agama dan pendidikan. Pembahas yang diamanahkan untuk berucap mewakili negeri masing-masing diharap tidak melupakan isu-isu rakyat.

Memandangkan, perhimpunan ini yang terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU), perwakilan harus lebih berhati-hati. Elakkan sebarang ucapan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak sehingga dikatakan sensitif, rasis atau perkauman.

Ingatlah khalayak yang akan memberi perhatian kepada perhimpunan itu bukan setakat anggota UMNO di PWTC tetapi ada di mana-mana sahaja. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat termasuklah pembangkang atau musuh UMNO.

Sebarang kesilapan akan dimanipulasi oleh pihak tertentu yang sentiasa mencari isu untuk `menikam dan menyerang’ UMNO. Ingatlah, laporan perhimpunan ini bukan sekadar dilapor oleh media cetak dan elektronik arus perdana tetapi juga media sosial.

Awang percaya, apa yang berlaku di dalam dewan akan bergerak dengan pantas tanpa sebarang tapisan. Segala ‘tindak tanduk’ yang tidak elok akan diperbesarkan oleh musuh politik. Setiap ungkapan akan diperhalusi oleh pihak-pihak yang cuba menjadikannya isu dalam menghadapi PRU ini. Maka berhati-hatilah.

AWANG – Hati-hati buat laporan.