Seperti mana dinyatakan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja. Walaupun Perdana Menteri menegaskan tindakan menarik diri bukan kerana ia buruk kepada negara tetapi disebabkan kekeliruan oleh pihak tertentu, namun rakyat mempunyai pandangan berbeza.

Awang tidak mahu meneruskan polemik berhubung perkara berkenaan tetapi sekurang-kurangnya langkah itu membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat, namun dalam masa sama harus berhati-hati apabila berhadapan dengan perkara-perkara seumpama itu.

Ia memandangkan seperti mana pandangan pelbagai pihak yang pakar dalam perundangan, apa juga pendirian atau keputusan yang mahu dibuat, penilaian harus dilihat dari sudut kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

Isu Statut Rom bukan soal siapa dikelirukan atau mengelirukan, tetapi bagaimana pandangan rakyat dan institusi terlibat perlu diambil kira, ia termasuklah mengemukakan kepada Majlis Raja-Raja dan Dewan Rakyat untuk mendapatkan satu keputusan yang betul, tepat serta tidak kontroversi.

AWANG - Susah nak keliru.