Bagi Awang, dalam keadaan agensi-agensi penguat kuasa sedang berhadapan dengan persepsi masyarakat berhubung soal integriti, tindakan JKDM itu adalah tepat pada masanya.

Melalui ujian itu, ia akan memastikan jabatan tersebut memiliki pegawai dan anggota yang berintegriti tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab tidak kira di mana pun mereka bertugas.

Apa yang dilakukan oleh JKDM seharusnya dicontohi oleh agensi-agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dan pada pandangan Awang ujian itu perlu dilaksanakan di peringkat pusat latihan lagi seperti mana dilakukan oleh JKDM.

Awang percaya perbuatan salah guna kuasa dan rasuah akan dapat dihapuskan dalam kalangan agensi penguat kuasa jika kesemua mereka mempunyai semangat seperti JKDM dan bukan sekadar melafaz ikrar sahaja.

Awang – Utamakan integriti.