Hari ini dan esok adalah waktu berkempen paling sibuk memandangkan kebanyakan orang bercuti hujung minggu. Masa inilah yang akan digunakan sepenuhnya oleh calon-calon untuk mendekati penduduk kawasan mereka bertanding.

Awang tetap mengharapkan dalam menghabiskan saki-baki hari sebelum rakyat turun mengundi ini, calon-calon parti berkempen secara matang dengan tidak memfitnah atau cuba menimbulkan rasa benci orang ramai terhadap parti lawan.

Hakikatnya, rakyat sudah cukup muak dengan cara berpolitik yang menyerang peribadi calon. Sudah tentu, mereka tidak berminat untuk mendengar cerita-cerita yang tidak ada kena-mengena dengan kehidupan mereka.

Yang mereka mahu dengar adalah tentang manifesto dan perancangan yang akan dilakukan untuk kawasan itu oleh parti atau calon sekiranya menang. Harus diingat, rakyat juga boleh menilai melalui rekod pencapaian terdahulu parti yang bertanding.

Oleh itu, jangan buang masa rakyat di hujung minggu atau pada malam hari semata-mata untuk mendengar ceramah yang menghentam peribadi calon lain. Elok-elok rakyat mahu menyokong, timbul rasa meluat pula.

AWANG - Tolak politik maki hamun.