Ilmuwan patut menyahut cabaran ini dan kerajaan pula perlu memberi sokongan penuh untuk menggalakkan penggunaan bahasa Me­layu. Negara seperti Korea Selatan, Jepun, Perancis dan Jerman yang mempertahankan bahasa ibunda masing-masing dengan menjadikannya bahasa ilmu lebih maju dalam bidang sains dan teknologi.

Mendaulatkan bahasa Melayu tidak terbatas kepada penerbitan buku ilmiah atau sistem pendidikan semata-mata sebaliknya perlu lebih menyeluruh termasuk dalam ekonomi dan pentadbiran.

Hakikatnya, ketika kita berusaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, pemerkasaan bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan. Tidak dinafikan banyak cabaran yang terpaksa dihadapi dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu ini tetapi komitmen semua pihak amat perlu. Ketika ini masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mampu me­nguasai bahasa Melayu dengan baik.

Awang berharap sektor swasta juga dapat memainkan peranan untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Kadang-kadang ada urusan yang mendahulukan bahasa Inggeris. Contoh mudah ialah apabila mesin yang menjawab telefon mendahulukan bahasa Inggeris sebagai pi­lihan utama dan bahasa Melayu sebagai bahasa pilihan kedua. Isu ini remeh tetapi persoalannya kenapa tidak didahulukan bahasa Melayu?

AWANG – Pertahan akhbar bahasa Melayu