Dipercayai sidang ini yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 dan dikatakan tempoh perjalanannya akan menjadi tanggungjawab ‘sukar’ buat Yang Dipertua Dewan dan timbalannya kerana ‘faham-faham sendirilah’.

Seingat Awang, ada satu sesi pada tahun lalu yang menyaksikan lebih 1,000 soalan dihantar oleh ahli Parlimen.

Di sinilah yang Awang sebutkan tadi tentang peranan besar Yang Dipertua Dewan untuk pastikan setiap soalan tidak melanggar peraturan mesyuarat kerana ada soalan yang tidak benar atau sengaja digunakan untuk tujuan politik.

Peraturan mesyuarat Dewan Rakyat 23(c) jelas menyatakan sesuatu pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah mengelirukan.

Ini termasuklah menyindir atau menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara-perkara remeh.

Seperkara lagi pesanan Awang kepada segelintir ahli Dewan agar jangan ‘hentam keromo’ Suruhanjaya Pilihan Raya dalam soal kajian persempadanan semula bahagian/kawasan pilihan raya yang ‘hangat’ diperkatakan sekarang.

Ini kerana tanggungjawab SPR menyediakan syor laporan akhir kajian persempadanan itu sudah selesai sebaik sahaja laporan diserahkan kepada Perdana Menteri yang mempunyai kuasa membentangkannya di Parlimen. Cuma, menanti sedikit masa sahaja untuk diselesaikan.

AWANG - Suka pembahas berkualiti.