Tahniah kepada mereka yang berani menawarkan diri ketika parti dalam kedudukan paling menyedihkan. Peluang terbuka ini perlu digunakan sepenuhnya dengan hasrat untuk membantu memulih dan membangunkan semula UMNO.

Penawaran ini jelas membuktikan masih ramai dalam kalangan anggota UMNO yang sayangkan parti dan tetap teguh mempertahankan prinsip perjuangan untuk kepentingan agama, bangsa dan tanah air. Mereka tidak mahu membiarkan parti hilang begitu sahaja. Keyakinan orang Melayu terhadap UMNO perlu dipulihkan.

Apa yang penting tawaran itu bukan sekadar bertanding atau bagi kepentingan peribadi, mahu mengejar kedudukan dan kuasa. Harus diingat, banyak yang perlu dilakukan oleh barisan kepemimpinan baharu. UMNO bukan lagi berada dalam zon selesa.

Awang percaya, setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing. Sebelum menawarkan diri, mereka sudah tentu yakin dapat memberi sumbangan atau mempunyai perancangan bagi melakukan perubahan. Elok juga setiap calon membentangkan perancangan untuk dinilai oleh anggota-anggota parti sebelum pemilihan. Biarlah mereka yang akan dipilih nanti benar-benar mampu bekerja, bukan sekadar menjadi penumpang.

AWANG – Tidak layak bertanding.