Bagi yang mempunyai rekod buruk pemanduan termasuk saman yang banyak dan terlibat dalam kemalangan jalan raya perlu bersedia membayar kadar insurans yang lebih tinggi.

Diharapkan, syarikat insurans dapat meletakkan harga yang setimpal terhadap pemilik kenderaan yang benar-benar mempunyai rekod pemanduan yang baik. Jangan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mencari pelbagai alasan bagi mewajarkan kenaikan kadar insurans di bawah sistem baharu ini.

Seperti kita sedia maklum, harga insurans baharu ini akan mengambil kira beberapa aspek termasuk sikap pemandu, penyelenggaraan kenderaan, kegunaan kereta, model dan jenis kenderaan, pekerjaan, umur dan tempat tinggal.

Perhatian juga perlu diberi terhadap kaedah bagi menentukan kadar insurans 27.6 juta kenderaan berdaftar di Malaysia. Sebelum ini, ada kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan dan mempunyai saman trafik yang banyak bebas beroperasi.

Awang percaya bagi yang mempunyai sumber kewangan yang baik, mereka tidak peduli dengan aspek pemanduan berhemah kecuali kadar yang dikenakan benar-benar menginsafkan. Apa yang penting, skim baharu ini benar-benar lebih baik, tidak membebankan serta tidak menyulitkan. Kadarnya biar berpatutan.

AWANG – Rimas dengan saman parkir.