Bukan itu sahaja, mereka yang tinggal jauh dari pantai pun perlu berhati-hati. Walaupun tempias ribut itu sahaja yang boleh dirasai di negara ini namun impaknya boleh menyebabkan pokok tumbang dan angin kencang.

Pagi semalam, Awang mendengar siaran radio melaporkan penduduk-penduduk yang tinggal di pesisir Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan pun kini bersiap sedia untuk diarahkan berpindah bila-bila masa sahaja andai risiko ancaman ribut Pabuk itu berlarutan.

Dalam aspek ini, Awang amat berharap menteri-menteri Kerajaan Pusat lebih prihatin bertanya khabar dan membantu apa yang sepatutnya bagi mengurangkan bebanan keluarga yang punca rezeki mereka terjejas kerana ribut ini.

Ini susulan arahan agar sebarang aktiviti membabitkan bot kecil, rekreasi dan menangkap ikan tidak digalakkan buat masa ini.

Nelayan sudah pasti golongan yang paling terhimpit akibat Pabuk sehinggakan ada yang sudah empat minggu tidak turun ke laut yang bergelora.

AWANG - Faham kesusahan nelayan, petani.