Awang tabik terhadap ketegasan Dzulkifli. Biarpun berhadapan dengan cabaran dan dugaan, beliau tetap tabah dan cekal melaksanakan tanggungjawabnya. Awang yakin selepas ini ­ramai lagi yang akan ditahan.

Ini memandangkan Dzulkifli sudah menegaskan bahawa selepas ini akan ada tangkapan atau pendakwaan ke atas pesalah-pesalah rasuah yang bukan sahaja terdiri daripada penjawat awam tetapi juga lain-lain termasuklah syarikat milik kerajaan (GLC).

Sememangnya apa yang dilakukan oleh SPRM tepat pada masanya. Tiada perlu lagi amaran, jangan lagi berkompromi. Sudah cukup pelbagai peringatan diberikan kepada penjawat awam supaya sentiasa amanah dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Awang percaya tindakan SPRM itu pasti akan menggerunkan bukan sahaja mereka yang sudah terjebak dengan rasuah, tetapi juga mana-mana individu yang cuba menjadikan jawatan dan kedudukan sebagai lubuk untuk meraih kekayaan. Inilah bukti­nya bahawa semewah manapun kehidupan hasil daripada sumber haram, ia tetap akan mendatangkan kemudaratan.

Awang - Bersama SPRM.