Tidak cukup disebarkan di situ, di dalam laman sembang yang popular, WhatsApp pun cerita yang sama. Terlalu banyak berita dan gambar yang belum tentu betul tetapi ia ‘diraikan’ seperti sudah sahih dan terus disebarkan kepada ribuan atau jutaan lagi penduduk di negara ini yang memang terkenal sebagai pengguna WhatsApp paling aktif di dunia.

Dan kerja-kerja membuat cerita palsu dan penyebarannya ini semakin menjadi-jadi apabila menjelang pilihan raya umum. Inilah cara parti politik berkempen dengan mewujudkan banyak akaun laman sosial palsu termasuk menggunakan nama dan gambar orang lain untuk memfitnah dan menjatuhkan mana-mana pihak yang mereka benci.

Justeru, undang-undang baharu bagi mengekang penyebaran be­rita palsu ini diharapkan dapat dibentangkan di Parlimen secepat mungkin. Jangan ditangguhkan lagi. Ini kerana penyebaran berita palsu merupakan satu masalah besar yang boleh menggugat keselamatan negara.

Awang turut berharap, isu ini jangan hanya dipandang serius pada musim pilihan raya. Ini kerana Awang perhatikan, sepanjang masa kita akan terbaca berita-berita palsu yang mengaibkan dan cuba menjatuhkan mana-mana pihak yang bagaikan sudah diterima baik dalam masyarakat kita. Hentikanlah kerja yang tidak berfaedah ini!

AWANG - Padam berita palsu.