Bagi Awang, dalam bahasa mudah Ahmad Zahid mahu bukan sahaja penerima, malah pemberi juga harus dijadikan sasaran utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sememangnya kadangkala ramai tertanya-tanya berbanding pemberi, penerima rasuah paling banyak ditahan dan didakwa di mahkamah.

Oleh itu Awang berharap sudah sampai masanya SPRM turut memberi tumpuan kepada pemberi-pemberi rasuah. Tiada alasan untuk melepaskan mereka begitu sahaja walaupun mereka mungkin terpaksa melakukan jenayah itu bagi membolehkan sesuatu projek diluluskan atau perbuatan mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Atas alasan apapun, pemberi rasuah tetap bersalah di sisi undang-undang. Sebab itulah SPRM memperkenalkan slogan ‘Ja­ngan beri, jangan terima’. Maksudnya kita tidak boleh memberi, apatah lagi menerima rasuah.

Apa yang penting matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Kalau mereka bersedia memberi rasuah maka mereka juga perlu bersedia menerima akibatnya. Janganlah beri alasan dangkal kononnya terpaksa berbuat demikian kerana dipaksa. Negara kita ada undang-undang yang mencukupi untuk melindungi pemberi maklumat. Apa yang penting rasuah harus dibanteras sehingga ke akar umbi.

AWANG – Benci rasuah.