Tidak dinafikan polis mampu melakukan risikan seterusnya membuat tangkapan. Bagaimanapun tangkapan bukanlah penyelesaian muktamad kerana akan ada pelapis mengambil alih. Justeru, tumpuan harus diberikan kepada punca menyebabkan pemikiran rakyat terutama anak-anak muda terpengaruh dengan fahaman ekstremis seterusnya menyertai kumpulan militan.

Dekatilah golongan yang sudah terjebak dan cari punca atau sebab mereka terpesong. Adakah ia berkaitan isu agama, kaum, budaya, ekonomi atau politik? Begitu juga dengan latar belakang kehidupan mereka kerana ada yang berpendidikan tinggi.

Masyarakat juga harus memainkan peranan membanteras golongan yang terpengaruh dengan militan. Dalam hubungan ini, diharapkan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan turut berperanan mengenal pasti punca keterlibatan anak-anak muda ini.

Awang berharap inisiatif Malaysia-Arab Saudi ini dapat mencapai matlamat penubuhannya iaitu bagi membanteras penyebaran dakyah dan ideologi golongan ekstremis dan pengganas. Semoga penggemblengan tenaga semua pihak akan membantu menangani isu-isu keganasan.

AWANG - Cari punca penyakit.