Sukar untuk membayangkan kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh penduduk. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jumlah korban yang mencecah lebih 1,400 orang dijangka meningkat apabila pasukan mencari dan menyelamat memasuki lebih banyak kawasan bencana itu.

Kita berdoa agar bantuan kemanusiaan termasuk dari Malaysia dan negara-negara lain dapat sampai kepada mangsa. Rakyat Malaysia juga boleh menyumbang melalui tabung yang dilancarkan termasuk oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Penduduk Palu benar-benar memerlukan bantuan untuk membina semula kehidupan. Musibah di daerah yang asalnya lautan tetapi bertukar daratan lembah akibat gempa bumi itu perlu dijadikan iktibar.

Bersyukurlah Malaysia masih dilindungi daripada bencana seumpama ini. Bagaimanapun rakyat jangan alpa termasuk peralihan monsun yang sedang berlaku.

Awang ingin menarik perhatian mengenai hujan lebat, ribut petir serta angin kencang. Banyak kawasan yang dilanda banjir kilat turut dikaitkan dengan sistem pengaliran tidak berfungsi. Kegagalan manusia mengurus sampah turut menyumbang banjir kilat. Justeru jangan sengaja mengundang bencana.

AWANG – Hantar wartawan ke Palu.