Buli yang dulunya dilihat sebagai gurauan telah sampai ke tahap mencederakan mangsa malahan membawa kepada kematian. Dalam hal ini, eloklah pihak polis campur tangan. Kita bimbang kelewatan bertindak akhirnya mewujudkan kumpulan samseng di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT).

Jika dibiarkan, `gangsterisme’ pembuli ini akan terbawa-bawa sehingga mereka meninggalkan dunia pendidikan lebih-lebih lagi bagi yang terkandas meneruskan pengajian.

Apa yang diharapkan, ibu bapa perlu lebih peka dengan isu ini. Mereka jangan sekadar melenting apabila anak/pelajar dirotan oleh guru akibat masalah disiplin tetapi diam membisu serta cuba menyembunyikan isu buli yang lebih serius.

Lebih malang apabila ada juga pelajar yang bukan sahaja membuli rakan-rakan tetapi memeras ugut guru. Tidak mustahil ada guru yang diugut untuk dicederakan atau merosakkan kenderaan.

Awang berharap, dalam usaha setiap sekolah atau IPT menjaga reputasi dan imej masing-masing, janganlah sesekali melindungi ‘jenayah’ dalaman. Reputasi akan lebih buruk selepas kes ber­ke­naan terbongkar dan institusi berkenaan juga akhirnya dipersalahkan kerana lewat bertindak.

AWANG – Terap nilai kasih sayang.