Apa yang penting bagi penduduk di kawasan terlibat ialah mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. Patuhilah arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Jika perlu berpindah dan diarahkan berbuat demikian, ambillah langkah segera bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.

Kerajaan tidak mengabaikan mangsa banjir sebaliknya menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka. Justeru, berilah kerjasama kepada pasukan penyelamat.

Orang ramai juga diminta tidak menyebarkan berita atau makluman berkaitan banjir yang tidak tepat sehingga mencetuskan keresahan penduduk. Manfaatkan media sosial untuk maklumat yang boleh membantu bukannya menimbulkan rasa panik.

Awang juga ingin mengingatkan ibu bapa supaya mengutamakan keselamatan anak-anak. Jangan biarkan mereka bermain-main atau mandi di sungai ketika musim banjir bagi mengelakkan kejadian lemas atau dihanyutkan arus deras. Anak-anak tidak perlu ke sekolah jika keadaan tidak mengizinkan. Hentikan juga aktiviti yang berkaitan dengan sungai pada musim banjir.

AWANG – Sentiasa ikuti ramalan cuaca.