Ini semua bermula dengan gagasan semasa perhimpunan agung UMNO disusuli Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya akhir tahun lalu kemudiannya mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerja­sama Islam di Kuala Lumpur.

Bagai satu kesinambungan terancang, misi bantuan kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar dilancarkan semalam. Misi ini bukan sekadar menyatukan UMNO dan Pas tetapi juga mengumpulkan ­sukarelawan dari 13 buah negara.

Bagi Awang, misi ini juga sepatutnya menjadi pengajaran kepada masyarakat tentang politik. Politik tidak harus sekadar digunakan untuk mendapatkan kuasa dan kekuasaan tetapi lebih penting menjadi unsur penyatuan terutama bagi membantu mereka yang memerlukan.

UMNO dan Pas telah buktikan. Manfaatnya tentu lebih besar kepada maslahat masyarakat dan umat sejagat jika kita dapat mengetepikan kepentingan politik sempit demi matlamat yang lebih besar.

AWANG – Selamat jalan flotila Myanmar.