Sepatutnya MCA berbincang secara kolektif dahulu dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sebelum memandai-mandai buat keputusan sendiri mahu gabungan berusia 61 tahun itu dibubarkan.

Tapi gaya tidak mahu merendah diri atau pendek kata angkuh inilah yang menjengkelkan Awang.

Cerminlah diri dulu. Impak MCA kepada BN kelihatan tidak ada langsung meskipun banyak peruntukan disalurkan menerusi parti itu untuk manfaat masyarakat Cina sebelum PRU-14.

MCA pada 9 Mei lalu hanya menang satu daripada 39 kerusi Parlimen dan dua daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kekalahan itu sudah diduga rentetan catatan teruk pada PRU-13 yang menyaksikan MCA dikenali sebagai parti 7/11 kerana menang tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN.

Pemimpin-pemimpin MCA sejak sekian lama sekadar diam membatu. Cuma berpeluk tubuh sahaja melihat orang UMNO pula menjawab tohmahan dan api fitnah dari DAP.

Seeloknya MCA hayati kata-kata hikmah Confucius ini: “Ingatlah bahawa mereka yang berbicara terlalu banyak sebenarnya bukan orang pandai, mereka yang suka pamer diri adalah orang sombong. Seorang manusia bijak hanya berbicara dalam ruang lingkup yang dia fahami.

Bagi Awang, elok sahaja MCA fikirkan idea dan tukar identiti yang lebih kreatif untuk menawan kembali hati pengundi Cina. Mana tahu ini akan mengubah MCA menjadi ‘ayam jantan’, tidak lagi lemah longlai.

AWANG - Bangkit terus berjuang.