Awang risau, sekiranya dadah ini akan meluas pengambilannya terutama dalam kalangan anak muda akhirnya bukan sahaja merosakkan mereka tetapi kesan lebih buruk lagi berlakunya kes-kes jenayah termasuk pembunuhan yang boleh diakibatkan oleh pengaruh dadah.

Nampaknya, sindiket dadah antarabangsa semakin kreatif dalam menghasilkan dadah-dadah baharu untuk menarik pelanggan. Sebelum ini kita dikejutkan dengan dadah Flakka yang menjadikan penagihnya berilusi teruk dan boleh merosakkan otak.

Awang pun tidak dapat membayangkan apa lagi jenis dadah yang akan muncul untuk membinasakan generasi muda pada masa akan datang. Yang pasti dan seolah-olah tidak dapat ditahan-tahan, sindiket dadah sentiasa berusaha untuk melipatgandakan keuntungan dengan apa cara sekalipun.

Maka cabaran pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia dan pihak yang menjaga pintu masuk negara sudah tentu menjadi lebih besar lagi. Lebih-lebih lagi pengambilannya yang sukar dikesan melalui ujian air kencing, maka kerja-kerja untuk membanteras penggunaannya turut akan menjadi lebih sukar.

Selain melihat kepada penguatkuasaan undang-undang dan kempen-kempen kesedaran bahaya dadah, pihak berkuasa juga perlu melatih anggota-anggotanya jika perlu hingga ke luar negara untuk mahir mengesan dadah-dadah jenis ini.

AWANG - Dadah perosak bangsa dan negara.