Bagaimanapun apa yang menjadi perhatian Awang ialah dari semasa ke semasa, ‘serangan peribadi’ mula dijadikan bahan kempen - satu tindakan yang Awang fikir tidak wajar dalam usaha memastikan PRK itu berjalan secara bersih dan aman.

Sudah pastilah sasaran utama ‘serangan’ ke atas Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yang ditentang tiga calon lain termasuk dari Pakatan Harapan, S. Streram. Setakat ini Awang nampak Mohamad tenang menghadapi ‘serangan’ itu.

Satu demi satu beliau patahkan dengan hujah-hujah cukup meyakinkan. Awang berpendapat dengan tinggal lapan hari lagi tempoh berkempen adalah wajar ditumpukan kepada isu-isu berkaitan rakyat.

Perlu diingat, rakyat bijak menilai corak kempen sesebuah parti. Mereka tidak akan terima bulat-bulat apa yang diperkatakan mana-mana calon apatah lagi melibatkan ‘serangan peribadi’.

Justeru, lebih baik hentikan kempen sedemikian. Sebaliknya berkempenlah secara berhemah kerana pilihan raya bukan pentas menyerang individu sebaliknya membentang agenda berpaksikan kepentingan rakyat.

AWANG - Tak suka serang peribadi.