Sebenarnya, cadangan itu adalah cetusan idea sehingga rakyat benar-benar bersedia membeli rumah. Bagi kebanyakan orang, rumah adalah pilihan kedua berbanding tumpuan untuk memiliki kereta. Sama ada kereta lama atau baharu, ia satu kemudahan untuk berulang alik ke tempat kerja dan sebagainya.

Ramai yang sanggup tinggal di flat atau apartmen murah tetapi pada masa yang sama bergaya dengan kereta baharu. Walaupun tempoh pembayaran balik kereta mungkin sehingga sembilan tahun, hutang akan meningkat apabila dalam tempoh berkenaan mereka mengambil keputusan membeli rumah baharu.

Rekod menunjukkan, bagi tempoh lima tahun sejak 2012 hingga 2016, lebih separuh daripada hutang isi rumah adalah untuk pembelian hartanah dan kenderaan. Tidak pasti, yang mana satu menjadi keutamaan sama ada rumah atau kereta.

Awang percaya, kerajaan akan terus membina lebih banyak rumah mampu milik bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri. Pilihannya terletak kepada pembeli. Mereka boleh memilih sama ada untuk menanggung sewa rumah atau lebih baik menggunakan kadar sewa untuk membayar balik pinjaman perumahan setiap bulan.

AWANG – Sewa flat sebelum beli rumah.