Generasi hari ini perlu menyingkap semula keperitan masa lalu supaya mereka dapat menghayati erti kemerdekaan sebenar seterusnya mengukuhkan semangat patriotisme. Hayatilah sejarah kemerdekaan negara.

Ingatlah dalam usia 61 tahun negara tercinta ini bebas daripada belenggu penjajahan, masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Hakikatnya, tugas untuk mempertahankan kemerdekaan adalah lebih sukar berbanding usaha untuk memusnahkannya.

Syukurlah rakyat Malaysia masih matang. Peralihan kepemimpinan negara berjalan dengan begitu baik. Ingatlah, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, senjata utama untuk mempertahankan kemerdekaan adalah bersatu hati. Rakyat harus berkongsi keamanan yang ada ini untuk terus hidup di bumi bertuah ini.

Tidak ada rakyat yang pernah dijajah termasuk di Malaysia yang sanggup dijajah semula. Bagaimanapun mereka tidak boleh alpa kerana penjajahan boleh datang dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Awang juga ingin mengingatkan bahawa, mempertahankan kemerdekaan menuntut komitmen yang tinggi daripada semua lapisan masyarakat. Pemimpin dan rakyat perlu memastikan keamanan dan keharmonian ini berterusan. Siapa pun kita, hargailah ‘kebebasan’, jangan disalahguna. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

AWANG - Sambut hari lahir Utusan Malaysia esok.