Walaupun tiada angka tepat tentang bilangan perokok di negara ini dan jumlah yang maut akibat tabiat buruk tersebut, namun Awang cende­rung mempercayai CAP yang jumlahnya memang besar. Ini berdasarkan pemerhatian keadaan sekeliling yang mana ke­libat pe­rokok cukup mudah dilihat di mana-mana. Daripada re­maja hingga yang sudah bersara.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk ‘menjauhkan’ rakyat daripada tabiat itu, namun perokok ini memang ‘hati kering’. Seburuk mana gambar penyakit dilekatkan pada kotak rokok tidak memberi kesan apa-apa. Sebanyak mana cukai rokok dinaikkan pun, dalam me­rungut dan mengeluh, mereka tetap membelinya. Ada juga yang beralih kepada rokok elektronik atau vape, malah tidak ku­rang yang membeli rokok seludup.

Dalam hal ini, Awang berpendapat langkah drastik perlu di­perkenalkan segera. Jika boleh diharamkan sama sekali me­rokok di tempat awam, laksanakanlah. Hal ini kerana sedihnya, yang men­derita penyakit berkaitan rokok bukan sahaja perokok tetapi ‘te­man sebelah’ yang turut menghidu asap, mungkin sahaja isteri atau anak dan ahli keluarga mereka.

Kepada umat Islam, ambillah kesempatan sepanjang sebulan puasa ini untuk berhenti merokok. Jika mampu menahan diri pada siang hari, apalah salahnya diteruskan ‘kecekalan’ itu sehingga ke malam, dan ke bulan-bulan seterusnya selepas Ramadan. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

AWANG – Sudah lama berhenti.