Cakap besar hendak hapuskan sistem percukaian itu, tetapi mana alternatif atau jalan penyelesaiannya? Bank Dunia sendiri mempersoalkan bagaimana pakatan diketuai DAP itu boleh mendapatkan sumber pendapatan negara jika mereka memansuhkan GST.

Bahkan, Bank Dunia mengesahkan ekonomi negara bakal mengalami kesan negatif jangka panjang jika GST dihapuskan kerana mengakibatkan kehilangan hasil yang banyak. Ini fakta. Bukannya duduk bawah pokok atau warung makan, berborak kosong.

Gerakan memansuhkan GST datangnya daripada persepsi ia menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Kita terpaksa membayar lebihan 6 peratus daripada harga yang dibeli.

Bagaimanapun tanpa kita sedari, sebelum GST pun, kita telah membayar cukai kepenggunaan di bawah rejim sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST). SST ini tersembunyi manakala GST tidak. Di bawah sistem SST, harga produk sering diubah suai sesuka hati oleh orang tengah kerana mereka tidak perlu menyatakan jumlah cukai sebenar.

Terdapat banyak kes di mana pengilang tidak mendedahkan kadar SST mereka dan menyimpan kutipan cukai itu yang dikenakan ke atas pengguna.

Langkah untuk kembali kepada sistem SST merupakan langkah ke belakang terutamanya ketika lebih 160 negara di seluruh dunia sudah beralih kepada sistem GST.

Hal ini kerana hasil daripada persetujuan antara pakar-pakar dan pertubuhan ekonomi antarabangsa merumuskan GST tiada cukai bertindih (cascading effect), lebih telus dan mempunyai sistem kawal selia menyeluruh bagi mengelakkan penyelewengan.

AWANG – Isu kos hidup atau gaya hidup?