Penjelasan itu bagaimanapun tidak mencukupi. Kedua-dua majlis perbandaran itu mengakui tersilap tetapi malangnya tiada permohonan maaf dibuat. MPPP mengakui membayar yuran penyertaan RM20,680 pada 2013 manakala MPSP membayar RM18,408 untuk mendapatkan anugerah berkenaan.

Awang faham sentimen umum terhadap kes sebegini memandangkan kerajaan DAP Pulau Pinang begitu mengagungkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). Lagipun siapakah yang beria-ia menguar-uarkan anugerah itu sebagai contoh kecekapan majlis perbandaran di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng?

Bagi Awang, kerajaan negeri sepatutnya menunjukkan contoh. Kesilapan sudah dilakukan. Mohon maaf sahajalah. Atau jika benar berpegang kepada prinsip CAT, wang pembayar cukai yang digunakan untuk membayar anugerah palsu itu mesti segera dipulangkan.

Usahlah berdalih lagi. Usahlah menggunakan dalih politik ko­nonnya pihak lawan sengaja cuba memburuk-burukkan pentadbiran kerajaan negeri DAP.

AWANG - Sendiri buat, sendiri tanggung.