Pakar-pakar teknologi maklumat (IT) dan kepakaran undang-undang juga perlu digembleng. Perhatian juga perlu diberi berhubung kaedah penguatkuasaan supaya undang-undang ini tidak diambil mudah atau dipandang sinis.

Maksud berita palsu itu juga perlu jelas supaya tidak terbatas kepada bahan bercetak dan siaran elektronik sahaja sebaliknya melibatkan semua sumber khususnya media dalam talian. Harus diingat bahawa undang-undang ini bukanlah untuk menjaga kepentingan pihak tertentu sebaliknya demi keselamatan negara.

Beberapa negara juga memberi perhatian terhadap peruntukan undang-undang ini. Kita tidak mahu rakyat membuang masa melayani berita-berita palsu yang meliputi pelbagai bidang termasuk politik, sosial, ekonomi dan agama.

Awang percaya hanya undang-undang dapat mengajar rakyat lebih bertanggungjawab ‘menapis’ maklumat sebelum disebar atau dikongsi secara meluas. Rakyat perlu diingatkan bahawa penyebaran berita palsu berpotensi mencetuskan perpecahan dan menggugat perpaduan. Berhati-hatilah demi menjaga keharmonian masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

AWANG - Tolak kepalsuan.