Semalam, 23 penerima anugerah itu turut mengecam Suu Kyi yang disifatkan sebagai tidak melakukan apa-apa tindakan atau inisiatif bagi memastikan hak kewarganegaraan yang sama rata kepada umat Islam Rohingya.

Sebenarnya, Awang sudah lama menjangkakan Suu Kyi akan bersikap demikian semata-mata mahu menjaga hati rakyat Myanmar yang beragama Buddha. Sebab itulah beliau tergamak membuat kenyataan meminta isu umat Islam Rohingya tidak diperbesar-besarkan.

Amat pelik bagi orang seperti Suu Kyi sanggup mengeluarkan kenyataan seumpama itu sedangkan apa yang berlaku ke atas umat Islam Rohingya terbukti satu perbuatan penghapusan etnik terancang.

Oleh itu Awang berharap umat Islam Malaysia akan terus membela nasib umat Islam Rohingya dengan menghulurkan bantuan bagi meringankan penderitaan mereka. Janganlah mengharapkan manusia seperti Suu Kyi untuk melakukannya kerana sudah pasti mereka lebih rela melihat umat Islam dibunuh demi menjaga kepentingan politik peribadi.

Awang – Turut menderma