Tidak ada sesiapa yang dapat menduga nahas seumpama itu berlaku lebih-lebih lagi melibatkan sebuah pesawat yang dianggap masih 'muda' kerana baharu memulakan operasinya pada 15 Ogos lalu.

Semoga keluarga 181 penumpang dan anak kapal tabah menerima perkhabaran duka ini. Diharapkan juga operasi mencari dan menyelamat dapat menemukan semua mangsa nahas.

Walaupun amat berat menerima kejadian ini, sekurang-kurangnya keluarga penumpang dapat mengetahui lokasi serta nasib mangsa nahas itu. Situasi itu tentunya 'lebih baik’ berbanding apa yang berlaku kepada keluarga penumpang pesawat MH370, milik Penerbangan Malaysia pada 2014.

Bagi Boeing, ini adalah nahas kedua tahun ini selepas Boeing 737 milik Mexican Charter Company terhempas di Cuba pada Mei lalu yang mengorbankan 112 jiwa. Bezanya usia pesawat itu 39 tahun.

Awang percaya syarikat pembuat pesawat dapat menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca nahas. Pesawat Lion Air ini dilaporkan dalam keadaan baik sebelum berlepas tetapi memberi isyarat untuk berpatah balik. Usia pesawat tidak boleh dijadikan ukuran punca nahas. Semoga kotak hitam dapat menjawab persoalan ini.

AWANG - Masih kehilangan MH370