Sebelum ini, timbul rungutan berkaitan kos pengambilan yang tinggi. Di samping itu timbul juga masalah berkaitan sikap pembantu rumah yang kurang menyenangkan majikan. Difahamkan, kos keseluruhan membawa masuk setiap pembantu rumah mencecah RM12,000 hingga RM18,000.

Melalui pengambilan terus, majikan dijangka membayar RM3,360 sahaja kerana proses berkaitan termasuk bayaran untuk levi, pas kerja sementara dan visa hanya RM595 hingga RM695. Selain menjimatkan kos, langkah itu juga dapat membantu mengelakkan majikan ditipu ejen atau orang tengah.

Langkah ini juga diharap dapat mewujudkan suasana lebih harmoni antara majikan dan pembantu rumah.

Awang percaya kes-kes penderaan, lari dari majikan, mencuri atau berhijrah ke sektor lain ada kaitan dengan masalah hubungan majikan dan pembantu rumah. Masalah ini mungkin berkait rapat dengan pilihan tidak tepat yang dibuat ejen. Diharapkan juga pihak Imigresen dapat menyediakan garis panduan khusus bagi memudahkan proses pengambilan secara terus.

AWANG – Bantu isteri di rumah.