Menghapus dadah sepenuhnya adalah sesuatu yang amat sukar. Tidak mungkin kita mencapai sifar dadah tetapi meme­rangi untuk mengurangkan pengedaran dan penagihan perlu dite­rus­kan. Pengedar dan penagih dadah juga semakin bijak.

Trend penagihan juga berubah berikutan kebanjiran dadah sintetik, bukan lagi ganja dan heroin. Dadah tidak mengenal mangsa sama ada yang mempunyai wang atau sebaliknya. Memang kena pada masanya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melihat semula aspek penguatkuasaan dan pemulihan. Lihatlah di mana silapnya supaya kea­daan bertambah baik.

Jika pengedaran dan pembuatan dadah tidak lagi dilakukan secara konvensional, maka usaha pencegahan dan pemulihan juga perlu berubah. Kita tidak mahu situasi ‘pulih tidak ramai, yang berulang’ pula bertambah.

Awang percaya AADK telah melakukan yang terbaik untuk menghadapi situasi ini. Agensi ini perlu diberi sokongan. Sesuatu harus dilakukan jika bajet yang diberi kepada AADK terlalu kecil supaya semua gerak kerja agensi itu tidak terbatas. Masyarakat juga perlu membantu termasuk institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Jangan biarkan AADK keseorangan.

AWANG – Bimbang kes jenayah akibat dadah.