Wujudkan ruang untuk ‘menyelamatkan’ lebih banyak jiwa daripada menjadi mangsa penyeksaan dan pembunuhan beramai-ramai. Atas dasar kemanusiaan sejagat, tindakan yang lebih praktikal perlu diambil, jika tidak, dunia hanya mampu mengutuk dan mengadakan demonstrasi.

Setiap hari, kita dihidangkan dengan pelbagai cerita sedih mengenai kekejaman yang dilakukan. Semalam, seorang bapa menceritakan bagaimana dua anak remajanya dibunuh ketika memancing. Begitu juga laporan mengenai lebih 900 wanita dirogol, dicabul kehormatan malahan wanita mengandung dibelah perut serta dibakar hidup-hidup. Memang kejam.

Dunia tertanya-tanya bagaimana sebuah negara yang di­pim­pin oleh penerima Hadiah Nobel Keamanan terus ‘memekakkan telinga dan membutakan mata’ terhadap penghapusan etnik ini. Kekejaman ini sudah lama berlaku tetapi kini semakin teruk.

Apakah muslihat di sebalik sikap tidak peduli Myanmar? Amat malang bagi etnik Rohingya jika apa yang berlaku itu disebabkan ada agenda atau muslihat tertentu pemimpin untuk menjaga kedudukan atau pemerintahannya.

Awang percaya, keselamatan nyawa dan harta benda masyarakat Islam Rohingya hanya dapat dipulihkan jika kerajaan Myanmar bertindak pantas dan berkesan. Kunjungan pihak luar ke negara itu yang mewakili PBB, OIC dan ASEAN juga boleh mengurangkan ketegangan.

AWANG – Bantu isi Tabung Rohingya