Teringat Awang pada Tan Sri Arshad Ayub, arkitek modal insan Melayu kerana jasa besar beliau membangunkan UiTM.

Ya, benar, hari ini kita dapat melihat ramai profesional Melayu yang juga produk UiTM muncul sebagai tokoh-tokoh hebat.

Sememangnya elok ucapan Arshad ketika menerima satu anugerah daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) serta diangkat sebagai Bapa Modal Insan Pribumi Negara pada 2013 difikir dan dihayati dalam-dalam.

“ITM dan UiTM sekarang tidak akan berjaya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Melayu dan Bumiputera terbesar dengan 200,000 pelajar pada masa ini tanpa sokongan UMNO.

“Perkhidmatan saya selama 10 tahun selaku Pengarah ITM (1967 hingga 1975) tidak akan berjaya tanpa sokongan UMNO. Namun kini saya berasa kesal dan sedih apabila melihat orang Melayu berpecah-belah akibat perbezaan ideologi politik sehingga menyebabkan kaum majoriti itu menjadi lemah,” kata Arshad.

Barangkali benar kata Arshad apabila tuntutan supaya UiTM sekali lagi dibuka kepada semua kaum kedengaran. Kali ini, dua hari lalu daripada Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).

Simboliknya, kalau diambil kira pun, bekas lulusan ITM/UiTM kini dalam lingkungan hampir setengah juta orang dan mereka akan menjadi satu kuasa yang cukup kuat. Namun, Melayu kini sudah berpecah-belah.

AWANG - Sekadar ‘tunggu dan lihat’.