Kenyataan NUTP itu bagi Awang adalah tanda sokongan dan penghargaan terhadap keprihatinan kementerian tersebut yang sejak diterajui oleh menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah membawa perubahan dengan menangani isu guru-guru duka lara iaitu yang ditempatkan berjauhan dengan pasangan mereka.

Awang gembira apabila Mahdzir memberi jaminan bahawa lebih banyak permohonan pertukaran dijangka diluluskan Oktober ini dan Januari tahun depan. Sudah pastilah seperti mana kata beliau, keutamaan akan diberikan kepada kategori duka lara.

Selama ini masalah itulah yang sering membelenggu para guru sehingga dikatakan memaksa mereka melakukan pengorbanan dari segi masa, wang ringgit, tenaga dan jiwa. Kini masalah itu sudah pun diatasi hasil usaha Mahdzir.

Justeru Awang berharap para guru akan lebih bersemangat lagi menjalankan tugas kerana kementerian sentiasa mengambil berat soal kebajikan mereka. Berilah tumpuan penuh untuk mendidik anak bangsa tidak kira di mana pun mereka bertugas.

AWANG – Kenang jasa guru sampai bila-bila.